Frequently Asked Questions (FAQs) | CENTRE FOR ACADEMIC DEVELOPMENT AND LEADERSHIP EXCELLENCE
» SULAM » Frequently Asked Questions (FAQs)

Frequently Asked Questions (FAQs)

             < Back  
               

This page contains frequently asked questions related to the implementation of SULAM at Universiti Putra Malaysia.

 

 
       
 1  
Apakah maksud “SULAM”?
 
       
   

“SULAM” merupakan singkatan daripada Service Learning Malaysia bagi merujuk kepada pendekatan “pembelajaran-berasaskan perkhidmatan” atau juga dikenali sebagai Service-learning. Secara prinsip, SULAM dan Service Learning merujuk kepada satu pendekatan pembelajaran yang sama.

 

 
       
2  
Apakah komponen utama dalam pendekatan pembelajaran berasaskan SULAM?
 
       
   

SULAM merupakan satu pendekatan pembelajaran yang menggabungkan tiga komponen penting iaitu akademik, penglibatan komuniti dan pengalaman praktikal pelajar.

 
   

 

 
       
3  
Bagaimanakah SULAM dilaksanakan?
 
       
   

SULAM dilaksanakan melalui kursus berkredit yang distrukturkan bagi melibatkan pelajar dengan aktiviti yang dapat memenuhi keperluan komuniti. Pada akhir aktiviti, pelajar melakukan refleksi terhadap pengalaman mereka memberikan perkhidmatan kepada komuniti. Aktiviti yang melibatkan pelajar dengan komuniti ini dilaksanakan bagi mencapai sekurang-kurangnya satu hasil pembelajaran kursus.

 

 
       
4  
Apakah ciri-ciri asas SULAM?
 
       
   

Ciri-ciri asas SULAM ialah:-

 
   
  1. Sekurang-kurangnya satu hasil pembelajaran dalam sebuah kursus dicapai melalui aktiviti yang melibatkan pelajar dengan komuniti.
  2. Aktiviti dilaksanakan dalam satu tempoh yang signifikan, iaitu satu tempoh yang dianggap mampu membolehkan pelajar dan komuniti bekerjasama bagi menjayakan satu aktiviti secara bersama. Tempoh ini boleh merangkumi aktiviti perancangan dan persediaan secara berstruktur dan terancang bagi sesuatu projek, program atau acara yang melibatkan pelajar dan komuniti. Dengan kata lain, aktiviti SULAM bukan bersifat one-off.
  3. Aktiviti pelajar bersama komuniti diberikan penaksiran dan gred.
 
       

 
       
5   Apakah perbezaan utama antara pendekatan “pembelajaran-berasaskan perkhidmatan” (service-learning) atau SULAM, dengan “pembelajaran-berasaskan komuniti (community-based learning/CBL).  
       
   

“Pembelajaran-berasaskan perkhidmatan” (service-learning/SL) dan “pembelajaran-berasaskan komuniti (community-based learning/CBL), kedua-duanya disenaraikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi sebagai antara “Amalan Pendidikan Berimpak Tinggi” (High Impact Educational Practices/HIEPs). Dari segi tujuan dan cara pelaksanaan, terdapat beberapa perbezaan antara SL/SULAM dengan CBL, iaitu:-

 
       
       
Kriteria
SULAM
CBL
Pihak yang menerima manfaat
Pelajar dan komuniti
Komuniti
Pelaksanaan Aktiviti
Pelajar melaksanakan aktiviti BERSAMA-SAMA komuniti (pelajar mengaplikasi pengetahuan/ kemahiran yang dipelajari untuk menyelesaikan isu/ masalah komuniti).
Pelajar melaksanakan aktiviti UNTUK komuniti (pelajar melaksanakan kesukarelawan untuk komuniti).
Pengisian Aktiviti
Aktiviti perlu mencapai sekurang-kurangnya satu hasil pembelajaran dan pada masa yang sama menyelesaikan masalah komuniti.
Aktiviti tidak semestinya menyelesaikan masalah komuniti, CBL lebih bersifat kesukarelawan (volunteerism).
Tempoh aktiviti
Penglibatan bersama aktiviti bersifat jangka panjang dalam satu tempoh yang signifikan, dan bukan one-off.
Penglibatan bersama aktiviti dilaksanakan secara one-off.
 

 

 

 
       
 6  
Apakah yang perlu dilaksanakan oleh Fakulti/pensyarah yang menawarkan/mengajar kursus SULAM?  
 
       
   

Fakulti perlu mengenal pasti kursus dalam sesebuah program akademik yang dilaksanakan secara SULAM. Dalam pembangunan kurikulum di UPM, sebuah kursus telah dikenalpasti untuk dilaksanakan melalui pendekatan SULAM bagi memenuhi keperluan “Amalan Pendidikan Berimpak Tinggi” (High Impact Educational Practices/HIEPs). Pensyarah kursus tersebut perlu membuat perancangan, termasuk menentukan hasil pembelajaran kursus yang akan dicapai melalui aktiviti SULAM, jumlah jam yang diperuntukan bagi aktiviti pelajar dengan komuniti, jenis penaksiran dan peratus penaksiran terhadap aktiviti SULAM yang akan dilaksanakan.

 

 
       
7  
Bolehkah aktiviti SULAM dilaksanakan bagi mencapai hasil pembelajaran daripada kursus berlainan?
 
       
   

Satu aktiviti SULAM boleh dilaksanakan bagi mencapai hasil pembelajaran kursus lain yang bersesuaian dengan aras taksonomi dan domain kemahiran insaniah yang telah ditetapkan dalam kurikulum. Pelaksanaan seumpama ini sekali gus boleh mengurangkan beban pembelajaran pelajar.  

 

 
       
8  
Apakah kursus yang dilaksanakan secara SULAM wajib ditawarkan dalam program akademik di UPM?
 
       
   

Jawatankuasa Kurikulum (JKKU) UPM dalam mesyuaratnya yang ke-233 bersetuju supaya mulai tahun 2015, setiap program akademik menawarkan sekurang-kurangnya satu kursus yang dilaksanakan sama ada secara SL atau CBL (Minit JKKU 233.02(e) bertarikh 30 April 2015). Ini bertepatan dengan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui suratnya Ruj: JPT(A)1000/013/005/01 Jilid 4 (25) bertarikh 14 Januari 2015, telah mengarahkan supaya IPTA menawarkan kursus yang menggunakan pendekatan “pembelajaran-berasaskan perkhidmatan” (Service-learning/SL) atau “pembelajaran-berasaskan komuniti” (community-based learning/CBL) dalam pengajaran dan pembelajaran.

Pada tahun 2019, inisiaitf SULAM atau “Service Learning Malaysia” dilancarkan oleh KPM bagi merealisasikan fungsi universiti untuk masyarakat. Selaras dengan inisiatif ini, KPM memohon IPTA supaya mengemukakan laporan dan pencapaian pelaksanaan SULAM secara tahunan bagi tujuan pemantauan. Lanjutan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Pengajaran dan Pembelajaran (JKPP), Universiti Putra Malaysia pada 18 Disember 2019 telah dimaklumkan mengenai penubuhan Jawatankuasa Kerja SULAM-UPM dan Inisiatif SULAM-UPM tahun 2019 hingga 2020. Selaras dengan iniasitif ini, pelaksanaan kursus secara SULAM dalam setiap program akademik mulai dipantau secara sistematik. Setiap program pengajian menawarkan kursus SULAM melalui satu kursus wajib yang diikuti oleh semua pelajar dalam sesebuah program pengajian. Kursus yang dilaksanakan secara SULAM ini tidak semestinya ditawarkan pada setiap semester.

 

 
       
 
Bolehkah SULAM melibatkan kursus yang ditawarkan pada semester-semester awal?
 
       
   

Secara prinsipnya, hasil pembelajaran dan penaksiran kursus SULAM harus mengukur sejauhmana pelajar dapat memanfaatkan/mengaplikasi pengetahuan/kemahiran dalam bidang pengajian masing-masing bagi memenuhi keperluan komuniti. Oleh itu, SULAM dilaksanakan melalui kursus teras, dan sebaik-baiknya ditawarkan kepada pelajar tahun 2 dan ke atas, iaitu ketika kursus-kursus teras kebanyakannya telah ditawarkan. Dengan itu, pelajar dapat dianggap telah pun mempunyai pengetahuan/kemahiran berkaitan bidang pengajian untuk membolehkan mereka memberikan perkhidmatan kepada komuniti.

 

 
       
10  
Perlukah SULAM ditawarkan melalui satu kursus yang khusus?
 
       
   

Kursus yang dilaksanakan secara SULAM boleh ditawarkan melalui sama ada:- i) satu kursus yang khusus (disebut sebagai “stand alone”), atau ii) kursus-kursus teras dalam program pengajian yang satu atau dua hasil pembelajaran kursus dicapai melalui aktiviti SULAM (disebut sebagai “embedded”).

 

 
       
11   
Bolehkah kursus SULAM dilaksanakan dengan melibatkan beberapa disiplin (interdisciplinary/ multidisciplinary/ transdisciplinary)?
 
       
   

Ya. Kursus SULAM yang khusus (“stand alone”) boleh melibatkan lebih daripada satu disiplin dalam program pengajian. Misalnya, pelajar program kejuruteraan, seni bina dan bahasa melaksanakan aktiviti SULAM dengan satu komuniti yang menghadapi isu/ permasalahan yang dapat diselesaikan melalui pengetahuan/ kemahiran dalam tiga bidang tersebut.

 

 
       
12  
Apakah isu yang lazim timbul dalam melaksanakan aktiviti SULAM?
 
       
   

Masalah yang lazim timbul ialah pertindihan jadual waktu antara aktiviti SULAM dengan kursus-kursus lain. Bagi mengatasi masalah ini, Fakulti disarankan untuk merancang secara teliti pelaksanaan kursus SULAM dalam sesebuah program pengajian supaya aktivitinya tidak bertindih dengan kursus-kursus lain, selain tidak membebankan pelajar. Selain itu, aktiviti SULAM boleh dirancang serta dilaksanakan bagi mencapai beberapa hasil pembelajaran (yang relevan) beberapa kursus lain yang juga diikuti oleh pelajar dalam sesebuah semester (Sila rujuk jawaban No. 6).

 

 
       
13  
Apakah aspek penting yang perlu diberikan perhatian dalam mengenal pasti aktiviti SULAM?
 
       
   

Aktiviti SULAM perlu memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, iaitu komuniti dan pelajar. Komuniti mendapat manfaat apabila aktiviti SULAM yang dilaksanakan oleh para pelajar dapat menyelesaikan isu/ masalah yang sedang dihadapi oleh mereka (komuniti). Manakala, pelajar mendapat manfaat dari segi pengalaman, iaitu apabila mereka diberikan peluang untuk mengaplikasi pengetahuan/kemahiran yang dipelajari untuk memberikan perkhidmatan kepada komuniti.

 

 
       
14  
Apakah pertimbangan yang boleh diambilkira dalam mengenal pasti komuniti untuk dilibatkan dalam aktiviti SULAM?
 
       
   

Dalam konteks SULAM, “komuniti” boleh merujuk kepada satu kumpulan manusia yang berhadapan dengan permasalahan atau menghadapi isu yang serupa. Dalam menentukan “komuniti” untuk aktiviti SULAM, pelajar dengan bimbingan pensyarah boleh menimbang beberapa inisiatif/ bidang tumpuan yang telah dirangkakan oleh pihak kerajaan seperti Dasar Komuniti Negara dan Dasar Pembangunan Luar Bandar.

Dalam konteks UPM, pemilihan komuniti untuk aktiviti SULAM boleh disejajarkan dengan kluster/ program/ inisiatif/ panduan yang telah digariskan oleh beberapa pusat perkhidmatan. Misalnya, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) telah menggariskan tujuh kluster bagi program berkaitan khidmat komuniti iaitu:

 
   
  1. Komuniti Setempat
  2. Komuniti Pertanian
  3. Belia
  4. Warga Emas
  5. Pesakit Kanser
  6. Orang Asli
  7. Pendidikan Kanak-kanak
 
       
   

Turut dirangka oleh UCTC ialah 15 program khidmat komuniti UPM. Selain itu, Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNet) turut menyediakan panduan dalam menjalinkan hubungan dengan pihak industri yang mungkin diperlukan dalam pelaksanaan aktiviti SULAM. Maklumat terperinci mengenainya boleh diperolehi melalui laman web pusat tersebut.

 

 
       
15  
Bagaimana jika isu/masalah komuniti tidak dapat diselesaikan oleh pelajar dalam sesebuh kohort?
 
       
   

Pelajar kohort seterusnya boleh meneruskan aktiviti dengan komuniti yang sama sehingga masalah/isu yang dihadapi komuniti itu selesai. Aktiviti SULAM tidak bersifat one off atau episodic.

 

 
       
16  
Bagaimana maklumat berkaitan SULAM dapat diperolehi di UPM?
 
       
   

Pusat Pembangunan Akademik (CADe), UPM telah membangunkan pusat rujukan sehenti” (one stop referral centre) SULAM-UPM di laman web rasmi CADe. Laman web ini mengumpulkan maklumat berkaitan urus tadbir dan aktiviti berkaitan SULAM di UPM, penjelasan berkaitan konsep dan pendekatan SULAM melalui bahan-bahan penerbitan seperti buku, video dan slaid, dan projek-projek SULAM yang telah dilaksanakan oleh para pensyarah UPM.

UPM juga telah menubuhkan Jawatankuasa SULAM-UPM yang dianggotai oleh wakil daripada setiap Fakulti yang boleh dirujuk bagi mendapatkan penjelasan berkaitan pelaksanaan SULAM.

 

 
       
17  
Bagaimana laporan pelaksanaan kursus SULAM dilaksanakan?
 
       
   

Pada setiap semester, maklumat berkaitan pelaksanaan SULAM dalam setiap program akademik di UPM akan dilaporkan kepada Jawatankuasa SULAM-UPM. Maklumat-maklumat yang diperlukan antaranya seperti nama fakulti, program pengajian, nama dan kod kursus, nama projek, kaedah pelaksanaan SULAM, komuniti yang terlibat dan impak pelaksaan aktiviti. Setelah disemak serta disahkan, maklumat berkaitan pelaksanaan SULAM di UPM akan disalurkan ke Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi bagi tujuan penggumpulan data dan pemantauan di seluruh institut pengajian tinggi di Malaysia.  

 
                 

    +++   +++        

Updated:: 11/04/2023 [azryadeny]

MEDIA SHARING

SXFGSAw~