Syarahan Umum Rashdan Baba Siri Ke-4 | CENTRE FOR ACADEMIC DEVELOPMENT AND LEADERSHIP EXCELLENCE
» NEWS » Syarahan Umum Rashdan Baba Siri Ke-4

Syarahan Umum Rashdan Baba Siri Ke-4

SERDANG, 19 April 2024 – Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADe-Lead), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Syarahan Umum Rashdan Baba Siri Ke-4. Syarahan ini telah disampaikan oleh YB Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Beliau merupakan Profesor Pelawat di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia. "Memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi dalam Agenda Kepemimpinan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia" merupakan tajuk yang diangkat bagi siri syarahan umum pada kali ini.

Antara intipati syarahan beliau adalah peranan Bahasa Melayu Tinggi dalam konteks pendidikan tinggi Malaysia dan bagaimana institusi-institusi pendidikan dapat menggerakkan usaha dalam memartabatkan penggunaan bahasa ini. YB senator mengingatkan kepentingan Bahasa Melayu Tinggi dalam memperkukuh identiti kebangsaan dan kebudayaan Malaysia. Beliau menegaskan bahawa Bahasa Melayu sebagai simbol kesatuan dan perpaduan dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Dalam konteks pendidikan tinggi, Bahasa Melayu Tinggi merupakan perantara berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, serta sebagai medium kelestarian warisan budaya bangsa.

Beliau turut menjelaskan bahawa bahasa tidak hanya berfungsi sebagai alat komunikasi, tetapi juga sebagai pembangunan nilai-nilai, kepercayaan, dan identiti masyarakat. Bahasa Melayu Tinggi mempunyai peranannya sendiri dalam membentuk tamadun Malaysia yang kaya dengan nilai-nilai kearifan tempatan dan pluralisme budaya.

Dalam konteks institusi pendidikan tinggi pula, Bahasa Melayu Tinggi penting dalam komunikasi rasmi antara pentadbir, pensyarah, dan pelajar. Beliau juga menekankan kepentingan untuk memahami bahasa tidak rasmi atau bahasa baku yang digunakan dalam pelbagai konteks sosial. Pengetahuan tentang kedua-dua bentuk komunikasi ini mencerminkan keupayaan individu untuk berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Dalam menguatkuasakan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi di institusi pengajian tinggi, YB Senator mencadangkan beberapa strategi pemerkasaan antaranya, penambahbaikan terhadap kurikulum pendidikan bahasa, pelaksanaan program-program dan latihan kemahiran komunikasi dalam Bahasa Melayu, serta mempromosikan Bahasa Melayu Tinggi di segenap pelosok dunia. Beliau juga menekankan perlunya pembudayaan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi dalam kalangan pentadbir dan pegawai akademik.

Syarahan tersebut diakhiri dengan penegasan beliau bahawa Bahasa Melayu Tinggi bukan hanya sebagai alat komunikasi, tetapi juga sebagai jiwa bangsa yang menghubungkan generasi masa kini dengan warisan budaya dan nilai-nilai leluhur. Memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi bukan hanya sekadar tanggungjawab di pihak institusi pendidikan tinggi, tetapi amanah bersama untuk memelihara dan menghormati warisan bahasa dan budaya Malaysia.

Hadir sama pada majlis syarahan umum adalah Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Pengarah CADe-Lead, Prof. Madya Dr. Wan Zuhainis Saad dan Ahli Lembaga Pengurusan Universiti.

 

 
Pautan Rakaman: 
https://www.facebook.com/watch/?v=803638087797318
 

Date of Input: 29/04/2024 | Updated: 29/04/2024 | azryadeny

MEDIA SHARING

CENTRE FOR ACADEMIC DEVELOPMENT AND LEADERSHIP EXCELLENCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6175
03-9769 6043
SXFRPAu~