Naib Canselor Kongsi Perjalanan Kepemimpinan Akademik Dalam Syarahan Umum Rashdan Baba Siri Ke-9 | CENTRE FOR ACADEMIC DEVELOPMENT AND LEADERSHIP EXCELLENCE cadelead
» NEWS » Naib Canselor Kongsi Perjalanan Kepemimpinan Akademik dalam Syarahan Umum Rashdan Baba Siri Ke-9

Naib Canselor Kongsi Perjalanan Kepemimpinan Akademik dalam Syarahan Umum Rashdan Baba Siri Ke-9

SERDANG, 31 Julai 2026 – Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan tradisi kecemerlangan ilmu menerusi penganjuran Syarahan Umum Rashdan Baba Siri Ke-9 yang menampilkan YBhg. Dato' Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah FASc, Naib Canselor UPM, sebagai penyampai syarahan bertajuk "From Subject Matter Expert to Academic Leader: A Journey of Its Kind".

Program yang berlangsung di Auditorium Jurutera Radin Umar, Fakulti Kejuruteraan, UPM itu menghimpunkan barisan pengurusan universiti, ahli akademik, pegawai serta warga UPM bagi mengikuti perkongsian pengalaman kepimpinan akademik yang berteraskan perjalanan kerjaya beliau selama lebih tiga dekad.

Dalam ucapan aluan, Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADe-Lead), Profesor Madya Ts. Dr. Wan Zuhainis Saad, berkata Syarahan Umum Rashdan Baba merupakan platform penting dalam memperkukuh budaya ilmu, perkongsian pengalaman dan pembentukan nilai kepimpinan dalam kalangan warga universiti.

Beliau berkata, kepimpinan akademik bukan sekadar tentang memegang jawatan, tetapi merupakan amanah untuk membangunkan bakat, menyatukan warga, memupuk budaya kecemerlangan dan memastikan institusi terus kekal relevan dalam landskap pendidikan tinggi yang sentiasa berubah.

Menerusi syarahan tersebut, Naib Canselor membawa hadirin menelusuri perjalanan kerjaya beliau bermula sebagai pensyarah dan penyelidik dalam bidang kejuruteraan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan dasar dan standard negara, termasuk dalam bidang keselamatan jalan raya dan pengangkutan, sebelum menggalas pelbagai tanggungjawab kepimpinan di institusi pengajian tinggi.

Beliau turut berkongsi bahawa perjalanan daripada seorang subject matter expert kepada seorang academic leader bukanlah sesuatu yang berlaku secara automatik, sebaliknya dibentuk melalui pengalaman, pembelajaran berterusan, kesediaan memimpin perubahan serta komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat dan institusi.

Dalam syarahan itu juga, beliau menegaskan bahawa pemimpin akademik perlu melangkaui kecemerlangan individu dengan membina pasukan, membangunkan bakat dan mewujudkan sistem yang mampu memberi impak berkekalan kepada universiti.

Mengulas mengenai legasi kepimpinan, beliau berkongsi satu falsafah yang menjadi intipati syarahan tersebut, iaitu bahawa seseorang boleh memilih untuk membina kejayaan peribadi, namun pemimpin yang sebenar ialah mereka yang membina institusi yang terus berkembang dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Turut dikongsikan ialah aspirasi UPM melalui kerangka UPM True North, UPM Food Security Blueprint Framework dan UPM Planetary Health & Sustainability Framework sebagai panduan strategik universiti dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Program diakhiri dengan sesi soal jawab yang mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta. Pelbagai persoalan berkaitan pembangunan pemimpin akademik, pembangunan bakat, pengurusan perubahan serta cabaran kepimpinan dalam era transformasi digital dikupas secara terbuka, sekali gus memberikan inspirasi kepada warga universiti untuk terus memperkukuh budaya kepimpinan akademik yang berintegriti, berwawasan dan berimpak, selaras dengan moto UPM, "Berilmu Berbakti."

 

 
Pautan Rakaman: 
- https://www.youtube.com/live/8bLIxHRfgAk?t=860s
 

Date of Input: 03/08/2026 | Updated: 27/08/2026 | azryadeny

MEDIA SHARING

CENTRE FOR ACADEMIC DEVELOPMENT AND LEADERSHIP EXCELLENCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6175
03-9769 6043
X, (06:40:12pm-06:45:12pm, 10 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]