|
SERDANG, 22 Jun 2026 – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Syarahan Umum Rashdan Baba Siri Ke-8 bertempat di Dewan Taklimat Serdang. Program kali ini menampilkan tokoh yang tidak asing lagi, iaitu Pro Canselor UPM, YBhg. Tan Sri Peter Chin Kah Fui. Dalam syarahan bertajuk “Snippets from 'The Amazing Journey', an Autobiography by Tan Sri Peter Chin”, beliau berkongsi susur masa perjalanan kehidupan, kepimpinan, serta khidmat bakti beliau dalam mencorakkan pelbagai sektor pembangunan negara selama beberapa dekad. Naib Canselor UPM, YBhg. Dato' Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, dalam ucapan aluannya menyatakan bahawa penganjuran siri syarahan ini amat signifikan dalam memperkukuh budaya ilmu dan menyemarakkan tradisi intelektual di kalangan warga akademik. "Program ini menjadi cerminan kepada misi universiti untuk menjadi pusat ilmu yang melahirkan sarjana intelek, berjiwa besar dan berwawasan global. Ia memperkukuh jati diri kita sebagai warga institusi yang menjunjung tinggi ilmu, menilai hikmah daripada pengalaman, dan memupuk tanggungjawab untuk berbakti kepada masyarakat," katanya. Beliau turut menambah bahawa perkongsian daripada tokoh berwibawa seperti Tan Sri Peter Chin merupakan sumber pembelajaran yang amat berharga dalam mendepani era yang mencabar, sekali gus bertepatan dengan aspirasi universiti untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat. Syarahan ini juga menjadi seruan buat warga UPM untuk menghayati dan menginsafi semula motto universiti iaitu “Berilmu Berbakti”. Majlis tersebut turut dihadiri oleh ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, serta barisan pegawai kanan dan Pegawai Akademik UPM.
|
![]() |
![]() |
| Pautan Rakaman: |
| - https://www.youtube.com/live/9a75mEic-xE?t=2947s |
Date of Input: 23/06/2026 | Updated: 23/06/2026 | azryadeny

4th Floor
Canselori Putra Building
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia