Majlis Perasmian Bulan Pendidik UPM 2020 | CENTRE FOR ACADEMIC DEVELOPMENT AND LEADERSHIP EXCELLENCE
» NEWS » Majlis Perasmian Bulan Pendidik UPM 2020

Majlis Perasmian Bulan Pendidik UPM 2020

 

SERDANG, 9 Oktober 2020 – Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan sambutan Bulan Pendidik sepanjang Oktober 2020 secara maya. YBhg. Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman telah merasmikan Bulan Pendidik pada 9 Oktober 2020 di Dewan Taklimat Serdang dan disiarkan secara maya.

Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Pegawai Kanan Universiti dan warga pendidik serta pelajar UPM.

Sambutan pada tahun ini bertemakan “Teaching from the Heart: Fun Learning” menggambarkan peri pentingnya peranan para pendidik dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, ikhlas dan sepenuh hati supaya para pelajar dapat menghayati pembelajaran dengan cara berkesan serta menggembirakan.

Dalam ucapan beliau telah menzahirkan para pendidik sebagai “barisan hadapan” yang menjadi tunjang bagi melahirkan generasi berilmu, beretika dan mempunyai keutuhan jati diri yang merupakan nadi menggerakkan pembaharuan UPM ke arah yang lebih baik.

 

 

Penganjuran kali ini memfokuskan bidang tujahan utama UPM iaitu Pertanian. Forum “Kecemerlangan Pertanian Melahirkan Usahawan” dan "University for Society" mengenengahkan perbincangan tentang isu semasa berkaitan pemindahan ilmu dalam bidang pertanian kepada masyarakat.

International Putra InnoCreative Carnival in Teaching and Learning (PicTL) 2020 yang akan diadakan pada 22-30 Oktober merupakan kemuncak aktiviti Bulan Pendidik yang memberikan pengiktirafan kepada pencipta inovasi untuk berkongsi pelbagai pengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran.

 

 

YBhg. Naib Canselor menyeru para pendidik UPM agar sentiasa bersedia menyahut cabaran; berubah ke arah yang lebih baik, sejajar dengan keperluan semasa. Antara aspek yang perlu ditingkatkan ialah jaringan global, termasuk kolaborasi serta kerjasama di peringkat antarabangsa yang dapat memberi manfaat yang besar terhadap pengajaran dan pembelajaran. Para pendidik tidak lagi boleh merasa selesa dengan cara berfikir yang jumud, sebaliknya harus bersedia mempelajari teknik terkini dalam penyampaian pengajaran dan pembelajaran pada era kecanggihan teknologi digital masa kini. Seperti kata pepatah “If we teach today's students as we taught yesterday's, we rob them of tomorrow”.

Beliau juga menyampaikan amanat kepada pelajar, kecemerlangan pendidikan bukan hanya diukur pada markah serta gred semata-mata, tetapi lebih penting lagi ialah aspek pembangunan sahsiah diri pelajar itu sendiri. Gabungan antara kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah diri, serta pengalaman pembelajaran yang ditimba selama menjalani kehidupan kampus boleh dimanfaatkan dalam kehidupan sebenar nanti. Untuk itu, UPM sangat menggalakkan kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) bagi melatih serta memberikan pendedahan kepada pelajar supaya mereka dapat memanfaatkan pengetahuan serta kemahiran untuk faedah masyarakat.

Semoga usaha gigih kita sekalian dalam memastikan keberkesanan penyebaran ilmu mendapat keberkatan Ilahi. Walau apa pun jua, perkara penting yang perlu disemat dalam sanubari kita adalah kemenjadian pelajar merupakan matlamat utama tugas sebagai seorang pendidik.

Date of Input: 16/10/2020 | Updated: 02/11/2020 | azryadeny

MEDIA SHARING

CENTRE FOR ACADEMIC DEVELOPMENT AND LEADERSHIP EXCELLENCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6175
03-9769 6043
SXESAAe~