Transformasi CADe Kepada CADe-Lead: Memacu Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik Di UPM | CENTRE FOR ACADEMIC DEVELOPMENT AND LEADERSHIP EXCELLENCE
» ARTICLE » Transformasi CADe kepada CADe-Lead: Memacu Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik di UPM

Transformasi CADe kepada CADe-Lead: Memacu Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik di UPM

 

Pusat Pembangunan Akademik atau Centre for Academic Development yang lebih sinonim dengan singkatan CADe ditubuhkan pada tahun 2003. Entiti ini  pada asal penubuhannya berfungsi untuk membangunkan modul-modul dan program-program peningkatan kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM). Bagi menyokong kepada kefungsian ini,  dua bahagian dibentuk iaitu Bahagian Pengurusan Ilmu dan Bahagian Pembangunan Pengajaran dan Pembelajaran. Antara peranan eksklusif pusat ini adalah menguruskan sistem-sistem pengoperasian dan bahan-bahan akademik, pengurusan hak harta intelek, penyelidikan dan pembangunan serta pemajuan staf dan latihan. 

Pada tahun 2016, CADe mula mengorak langkah untuk lebih terampil dalam menyokong visi dan misi UPM melalui penstrukturan semula bahagian CADe kepada tiga bahagian utama di bawah entiti ini. Tiga bahagian yang dimaksudkan ialah Bahagian Pembangunan Pegawai Akademik (PPA), Bahagian Pembangunan Pengajaran dan Pembelajaran (PPP) dan Bahagian Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (IPP).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang mewakili YH. Dato’ Naib Canselor UPM dalam Majlis Pelancaran  Bulan Pendidik 2022 telah menyatakan aspirasi untuk mentransformasikan CADe bagi meluaskan fungsi sejajar dengan hasrat universiti mencapai Putra Global 100 (PG100).  Bagi tujuan tersebut, fungsi CADe diperluaskan dengan penambahan fungsi kepemimpinan akademik. Jawatankuasa Pengurusan Universiti melalui mesyuaratnya yang ke-842 pada 30 November 2022 telah bersetuju meluluskan penstrukturan dan penjenamaan semula Pusat Pembangunan Akademik (CADe) kepada Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik / Centre for Academic Leadership Excellence and Development (CADe-Lead) dengan penambahan fungsi membangunkan program pengurusan bakat dan kepemimpinan akademik. Pelancaran transformasi ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM pada 18 Disember 2023. Majlis pelancaran telah dihadiri lebih 100 orang warga UPM dalam kalangan pegawai akademik dan pentadbir serta ditonton oleh 1,100 orang di saluran Facebook UPM.

 
 

Transformasi CADe kepada CADe-Lead ini dilihat daripada kaca mata pemegang taruh  akademik sebagai strategi terpenting dalam usaha untuk membangunkan bakat-bakat pemimpin akademik di universiti awam khususnya di UPM. CADe-Lead diberikan tanggungjawab untuk menyediakan program-program dan latihan-latihan yang berstruktur dan berfokus kepada pembangunan kepemimpinan akademi UPM. Justeru, CADe-Lead menyahut cabaran ini dengan membangunkan satu buku garis panduan iaitu Competency-Based Institutional Leadership (CbIL) Framework. Buku panduan ini mengetengahkan domain-domain terpenting dalam memastikan pemimpin-pemimpin akademik UPM dilatih secukupnya sesuai dengan peredaran ekosistem pengurusan pusat tanggungjawab yang semakin hari semakin mencabar.

 
 

CbIL merupakan satu kerangka berasaskan kepada kompetensi-kompetensi kepemimpinan institusi yang dibangunkan hasil kerjasama dan usaha kolaborasi pemikir-pemikir dan pakar-pakar di UPM yang berpengalaman luas dalam konteks kepemimpinan institusi. Buku panduan ini menterjemahkan kepada nilai dan aspirasi UPM untuk melahirkan pemimpin akademik yang mempunyai visi yang jelas, teguh integritinya dan pemupuk kepada budaya kecemerlangan akademik.

Pembangunan kerangka ini sangat bertepatan dengan hasrat Dato’ Naib Canselor UPM yang mahukan himpunan bakat-bakat ini dapat dibentuk untuk menjadi pemimpin akademik yang berwibawa dan berkaliber. Justeru, pembangunan buku panduan ini merupakan satu permulaan kepada perjalanan dalam pencarian bakat-bakat pemimpin akademik yang akan dibentuk secara bersistematik dan berstruktur secara pemberian latihan bermodular. Kerangka ini merupakan refleksi kepada varsiti dan ketelitian pembangun dalam memastikan kerelevanan pembangunan pemimpin akademik tanpa mengira kesenjangan masa dan perubahan lanskap ekosistem akademia.  

CbIL merupakan buku panduan pembangunan bakat-bakat pemimpin akademik yang komprehensif dalam menjustifikasi ekosistem hari ini yang bersifat VUCA (Volatile, Uncertain, Complexity dan Ambiguity) dan BANI (Brittle, Anxious, Nonlinear dan Incomprensible). Akronim-akronim ini kini menjadi satu perkara hangat yang dibincangkan khususnya dalam konteks bagaimana pemimpin akademik beradaptasi dalam ekosistem pengurusan institusi yang sentiasa berubah-ubah serta memerlukan ketahanan emosi, jasmani dan rohani. 

CADe-Lead akan menggunapakai buku panduan ini sebagai sumber rujukan yang praktikal dalam menganjurkan program-program dan latihan-latihan profesional (CPD). Ini diharapkan dapat memberikan impak yang lebih mapan serta mampu untuk memperkasa dan menyokong kepada pembangunan bakat pemimpin akademik dalam usaha mereka untuk memberi kesan yang dampak bagi organisasi yang dipimpinnya.

 

 

 
Disediakan oleh:
     
 
Prof. Madya Ts. Dr. Muhd Khaizer Omar
Timbalan Pengarah,
Seksyen Pembangunan dan Kepemimpinan Pegawai Akademik (PKPA)
Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADe-Lead)
 

Emel: khaizer@upm.edu.my

   
 

Date of Input: 21/12/2023 | Updated: 27/12/2023 | azryadeny

MEDIA SHARING

CENTRE FOR ACADEMIC DEVELOPMENT AND LEADERSHIP EXCELLENCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6175
03-9769 6043
SXFFXAT~