Penggunaan Chatbot Dalam Pendidikan | CENTRE FOR ACADEMIC DEVELOPMENT AND LEADERSHIP EXCELLENCE
» ARTICLE » Penggunaan Chatbot Dalam Pendidikan

Penggunaan Chatbot Dalam Pendidikan

 

Kemajuan teknologi sering mengubah corak dan kaedah penyampaian, penerimaan dan pengaplikasian  ilmu,  seiring dengan landskap pendidikan yang berkembang pantas. Penyepaduan kecerdasan buatan (AI) dalam proses pendidikan menjadi trend  di mana teknologi AI dilihat dapat merevolusikan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan . Antara inovasi yang telah mula digunapakai dan diaplikasikan para pendidik dan pelajar ialah Chatbot atau pembantu maya. Chatbot pendidikan, yang direka khusus bertujuan untuk menyokong kepada proses pengajaran dan pembelajaran serta  mengubah pengalaman pembelajaran tradisional kepada  pembelajaran yang dipersonalisasikan, interaktif dan lebih cekap.

Chatbot pada awalnya dibangunkan untuk menyelaras perkhidmatan pelanggan bagi meningkatkan interaksi di antara pembekal perkhidmatan dan pengguna. Dengan keupayaan Chatbot untuk mensimulasikan perbualan manusia, Chatbot kini digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan. Chatbot dapat memberikan sokongan dan maklum balas secara masa nyata dan segerak kepada pelajar dan pendidik, menjawab soalan bersifat lazim yang sering ditanyakan pengguna, menawarkan bantuan personalisasi dan mampu untuk melaksanakan tugas rutin pentadbiran. Kejayaan Chatbot dalam konteks pendidikan dipacu oleh ketersediaan Chatbot untuk memberikan maklum balas 24 jam sehari tanpa henti, bersifat fleksibel dan memberikan respons yang sesuai dengan tahap kognitif pelajar yang secara tidak langsung dapat meningkatkan hasil pembelajaran dengan ketara.

Contoh pengaplikasian Chatbot adalah kemampuannya untuk memberikan jawapan kepada soalan pelajar meskipun tanpa perlunya ada penglibatan pensyarah. Ada ketikanya pensyarah tidak dapat memberikan respon secara aktif terutamanya apabila di luar waktu kuliah. Chatbot pendidikan mampu merapatkan jurang ini dengan memberikan respons segera, dan seterusnya mengekalkan momentum pembelajaran pelajar secara berterusan. Selain itu, Chatbot dapat melibatkan pelajar dalam dialog interaktif, menggalakkan pemikiran kritis dan menyokong kepada pembelajaran kendiri—di mana Chatbot boleh diakses dengan mudah melalui pelbagai platform digital.

 

Kefungsian Chatbot dalam Konteks Pengajaran dan Pembelajaran

 

Kefungsian Chatbot dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah pelbagai. Fleksibiliti Chatbot membolehkan ianya digunakan dalam pelbagai senario. Contohnya, melalui tunjuk ajar yang dipersonalisasikan kepada sokongan pentadbiran dan sistem pengurusan pengajaran (LMS). Proses yang bersifat kitaran antara penglibatan pensyarah dan pelajar ini dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran secara komprehensif. Antara kelebihan Chatbot dalam konteks pengajaran dan pembelajaran adalah keupayaannya untuk menawarkan pembelajaran yang dipersonalisasikan untuk memenuhi keperluan pembelajaran dan meningkat prestasi akademik pelajar. Chatbot seperti CikguAIBot (Nasharuddin et al., 2021) yang dibangunkan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran pelajar, ianya direka bentuk untuk memenuhi keperluan interaksi dengan pelajar secara “one-to-one.” CikguAIBot menawarkan kandungan  pembelajaran mengenai topik asas kecerdasan buatan (AI) dan ianya dapat diakses oleh pelajar pada bila-bila masa. Bentuk pembelajaran personalisasi ini banyak memberikan manfaat terutamanya dalam situasi bilangan pelajar yang terlalu ramai di dalam satu-satu kursus di mana perhatian dan tumpuan untuk memberikan maklumbalas pensyarah ini terhadap pelajar-pelajar adalah terhad. 

Chatbot pendidikan boleh menyokong pelajar secara segerak ataupun tidak segerak serta di luar waktu kelas konvensional. Ianya  membolehkan pelajar mengukuhkan kefahaman kandungan pembelajaran dengan pengawasan yang minima oleh pensyarah. Dengan kaedah ini, Chatbot bertindak sebagai “always-available tutor", yang menggalakkan autonomi pelajar dan pembelajaran terarah kendiri. Dalam pada masa yang sama, Chatbot berkemampuan untuk mengendalikan beribu-ribu soalan yang diajukan pelajar secara serentak, menjadikannya ideal untuk diaplikasikan di institusi pendidikan yang mempunyai bilangan pelajar yang tinggi.

 

Tugas Pentadbiran dan Sokongan

 

Selain menyokong kepada keberkesanan penyampaian kandungan pembelajaran, Chatbot turut membantu dan mengatur tugas pentadbiran dan beban kerja  lain untuk pensyarah. Pensyarah dan pentadbir institusi pendidikan sering menghadapi beban tugas rutin yang banyak. Sebagai contoh, aturan penjadualan, menjawab soalan lazim, dan menguruskan perekodan pelajar. Chatbot boleh mengendalikan tugasan ini dengan cekap serta dapat menjimatkan masa. Ini secara tidak langsung dapat membantu pensyarah dan barisan pentadbir institusi untuk memberikan tumpuan kepada tugas-tugas lain yang lebih kritikal. Penautomasian ini bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan tugas tetapi turut dapat memastikan pelajar menerima maklumat yang sahih, betul dan tepat pada masanya sekaligus dapat mengurangkan kemungkinan berlakunya kesilapan.

 

Beza antara Chatbot dengan ChatGPT

 

Meskipun model AI serbaguna seperti ChatGPT mendapat perhatian yangmeluas kerana keupayaannya untuk menjana teks dan memberikan tindak balas kepada pelbagai pertanyaan daripada manusia, Chatbot pendidikan seperti CikguAIBot menawarkan kelebihannya tersendiri dalam konteks pengajaran dan pembelajaran. Tidak seperti ChatGPT yang dilatih pada set data yang luas dan direka bentuk untuk kegunaan umum, Chatbot pendidikan dibina khusus untuk pengajaran dan pembelajaran, menjadikan Chatbot pendidikan lebih berfokus dan relevan untuk diaplikasikan dalan bilik kuliah. Jawapan yang dijana ChatGPT mungkin tidak sejajar dengan seting pedagogi yang diperlukan untuk menyokong proses  pembelajaran berkesan berbanding dengan Chatbot pendidikan. Sebaliknya, Chatbot pendidikan direka bentuk dengan mengambil kira aspek kurikulum demi untuk memastikan bahawa respons yang diberikan oleh Chatbot boleh dipercayai kerana data dan maklumat bahan pembelajaran distorkan secara pengkomputeran awan (cloud computing) dan berdasarkan objektif pembelajaran yang ditetapkan bagi satu-satu  kursus.

Chatbot pendidikan diprogramkan untuk melaksanakan pendekatan pembelajaran berstruktur. Ia direka untuk membimbing pelajar bagi menyokong kepada kaedah penyelesaian masalah secara berturutan langkah demi langkah, memberikan petunjuk dan pembetulan sepanjang pembelajaran secara terus. Pendekatan berstruktur ini dapat memastikan pelajar belajar dengan cara logikal dan progresif, kaedah yang mungkin tidak dapat direalisasikan oleh model AI yang lebih umum seperti ChatGPT. Walaupun ChatGPT boleh menjana jawapan, ianya mungkin tidak selalu dapat menawarkan teknik perancahan (scaffolding) yang diperlukan pelajar untuk memahami konsep yang lebih kompleks.

Antara kebimbangan yang wujud dalam menggunakan alatan AI seperti ChatGPT adalah berkaitan privasi dan kawalan data. ChatGPT dilatih dengan sejumlah besar data yang telah tersedia untuk umum. Walaupun ia mempunyai langkah-langkah pelindungan privasi pengguna, terdapat kurang kawalan ke atas maklumat yang disimpan dan cara ianya digunakan. Chatbot pendidikan, bagaimanapun, dibangunkan dengan kawalan privasi data yang lebih ketat, memastikan maklumat pelajar yang disimpan dapat dipastikan selamat dan hanya digunakan bagi tujuan pendidikan. Tahap kawalan data ini adalah penting untuk institusi melindungi data pelajar yang sensitif dan mematuhi peraturan privasi mengikut piawaian antarabangsa.

 

Kesimpulan

 

Penggunaan Chatbot dalam pendidikan telah mengubah pendekatan pembelajaran secara konvensional kepada digital. Alat yang dikuasakan oleh AI ini menawarkan tunjuk ajar yang dipersonalisasikan,  penyelarasan  tugas pentadbiran yang sistematik dan sokongan berterusan kepada pelajar. Ekosistemn ini secara keseluruhannya menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih mudah diakses, cekap dan dapat disesuaikan dengan keperluan individu secara berfokus. Walaupun alat AI serba guna seperti ChatGPT menjadi pilihan ramai ketika ini, Chatbot pendidikan sebaliknya menawarkan kelebihan yang berbeza dalam aspek reka bentuk pembelajaran yang fokus dan terarah bagi kegunaan penyampaian ilmu dalam bilik kuliah, berorientasikan kurikulum yang mantap dan melindungi privasi data secara berkesan. Memandangkan teknologi AI akan terus berkembang, peranan Chatbot dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih efektif, membawa kepada era baharu pembelajaran yang lebih interaktif dan dapat dipersonalisasikan.

 
 

Rujukan:

 
Nasharuddin, N. A., Mohd. Sharef, N., Mansor, E. I., Samian, N., Azmi Murad, M. A., Omar, M. K., Arshad, N. I., Shahbodin, F., & Marhaban, M. H. (2021, June 15-16). Designing an educational chatbot: A case study of CikguAIBot [Paper presentation]. IEEE Fifth International Conference on Information Retrieval and Knowledge Management, Shah Alam, Malaysia. https://doi.org/10.1109/CAMP51653.2021.9498011.
 
 

 
Disediakan oleh:
     
 

Nurul Amelina Nasharuddin merupakan pensyarah kanan di Jabatan Multimedia, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau juga merupakan Timbalan Pengarah di International Institute of Online Education (IIOE) National Centre, Malaysia. Minat penyelidikan utama beliau adalah dalam bidang kecerdasan buatan dan pengkomputeran multimedia. Kerja penyelidikan semasa beliau tertumpu kepada aplikasi AI dan multimedia dalam pendidikan. Beliau telah terlibat dalam banyak aktiviti pembelajaran, termasuk pembangunan kompetensi dalam AI dan sains data untuk pendidik. Beliau juga merupakan penyokong aktif teknologi pendidikan, khususnya teknologi e-pembelajaran dan telah menyumbang kepada pelbagai perkhidmatan profesional AI dan kerja sukarela.

Emel: nurulamelina@upm.edu.my

   
 

Date of Input: 04/11/2024 | Updated: 20/12/2024 | azryadeny

MEDIA SHARING

CENTRE FOR ACADEMIC DEVELOPMENT AND LEADERSHIP EXCELLENCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6175
03-9769 6043
F, (11:59:14pm-12:04:14am, 28 Feb 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]