TVET Dan Inspirasi Madani | PUSAT PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN KEPEMIMPINAN AKADEMIK
» ARTIKEL » TVET dan Inspirasi Madani

TVET dan Inspirasi Madani

 

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau lebih dikenali dengan akronim TVET (Technical and Vocational Education and Training) merupakan satu korpus ilmu yang mengintegrasi ilmu teoretikal dan praktikal dalam program akademik. TVET mengaplikasikan proses pengajaran dan pembelajaran berorientasikan industri yang memberi penekanan kepada penggunaan peranti teknologi dan juga penyediaan perkhidmatan bagi menyokong industri perkilangan, pembuatan, perhotelan dan seumpamanya.

Perkembangan dan evolusi dalam bidang sains, teknologi dan ekonomi membawa banyak impak kepada pembangunan sumber manusia di dalam sesebuah negara. Pola kehidupan, hubungan sosialisasi, kerjaya, cara kita berhubung membuka kepada banyak peluang-peluang yang belum pernah diterokai lagi. Dalam pada masa yang sama, kita diminta untuk bergerak lebih pantas dan lestari terhadap perubahan semasa yang bersifat global.

Dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan yang semakin kompleks pada hari ini, memerlukan kita untuk bergerak dengan lebih tangkas dalam sistem pendidikan. Perubahan pantas dalam teknologi, kemajuan sains dan kesinambungan hidup dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar memerlukan persiapan yang rapi khususnya dalam pembangunan sumber manusia. Justeru, bagi memastikan kerelevanan program-program akademik di Malaysia, negara perlu memperhalusi kurikulum TVET sebagai satu medium pemberi pendidikan utama di negara ini.

 
 

 
   
 

Keterlibatan industri mengukuhkan pendidikan TVET yang lebih progresif dan komprehensif. Seruan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mewacana penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, Tenaga Nasional Berhad, Sime Darby, Malaysia Airlines dan sebagainya memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk memperkasa dan menaiktraf TVET sebagai arus pendidikan perdana di Malaysia.

Hubungan bilateral di antara pihak penyedia pendidikan TVET dengan pihak industri menjadi strategi terpenting bagi merealisasikan keberkesanan pendidikan TVET. Pihak industri diharapkan dapat mewajarkan perkongsian teknologi-teknologi yang diaplikasikan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan institusi pendidikan agar kemahiran yang diperlukan oleh pihak industri dapat dilatih melalui program-program akademik.

Institusi pendidikan dalam pada masa yang sama dapat membantu industri bagi mencerna idea-idea baharu melalui Research & Development (R&D) yang berterusan. Justeru, lebih banyak prototaip dan produk baharu dapat dihasilkan bagi memperoleh keuntungan di kedua-dua belah pihak melalui penjualan dan pemasaran strategik.

 
 

 
   
 

TVET yang berorientasikan kemahiran ini perlu dipupuk melalui pembangunan bakat dan minat secara mapan sesuai dengan kemampuan seseorang individu tersebut. Justeru, pendekatan TVET perlu bersifat pragmatik iaitu berasakan pengalaman pembelajaran yang bersifat praktikal sebagai contohnya pengendalian mesin pencetak 3D, mengimpal logam dengan mesin kimpalan dan penyediaan set kulinari dan makanan bagi acara rasmi dan tidak rasmi.

Sudah tiba masanya TVET di Malaysia diadun dengan ramuan tersendiri berdasarkan kepelbagaian rencam demografi masyarakat. Akademi TVET perlu ditubuhkan bagi mempergiat usaha pengecaman bakat kemahiran sama seperti sekolah-sekolah sukan dan seni yang sememangnya berorientasikan kemahiran psikomotor. Akademi TVET ini perlu diurus tadbir oleh pakar-pakar daripada pihak GLC melalui unit pembangunan sumber manusia supaya graduan daripada akademi terus dapat diserap masuk dalam sektor pekerjaan.

Seringkali TVET dimomokkan bahawa program pengajian ini berada di kelas kedua jika dibandingkan dengan program perdana yang lain. Namun, perlu diakui bahawa program-program pengajian berorientasikan TVET menjadi pilihan utama pelajar-pelajar khususnya di negara-negara maju seperti Jerman, Korea dan China. Tidak hairanlah, bahawa negara-negara ini dapat menghasilkan teknologi-teknologi termaju dan sumber manusia yang berkemahiran selaras dengan perkembangan dunia hari ini yang meletakkan penanda aras kepada revolusi industri bagi menjustifikasi kemajuan sesebuah negara. Kerangka akademik yang berorientasikan TVET jelas membawa perubahan drastik dalam sektor-sektor pembuatan misalnya di China dan Korea.

Pedagogi TVET yang berorientasikan industri dapat memangkin kepada kebolehpasaran graduan TVET dalam sektor pekerjaan. Terdapat sentimen bahawa program TVET tidak menjanjikan pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan. Namun, umum diketahui bahawa kebolehpasaran graduan TVET mencapai sehingga 98% khususnya graduan daripada politeknik dan kolej komuniti. Rata-rata graduan TVET adalah kompeten untuk menjadi feeder kepada pekerja-pekerja mahir di Malaysia.

Keunikan program akademik berorientasikan TVET terletak kepada peluang pembelajaran sepanjang hayat yang ditawarkan oleh pemberi TVET di Malaysia contohnya kolej komuniti. Latihan berbentuk praktikal yang ditawarkan contohnya dalam bidang automotif dan fesyen misalnya membuka peluang kepada graduan-graduan ini untuk menceburi bidang keusahawanan. Perkembangan ekonomi di satu-satu kawasan luar bandar misalnya dapat dipertingkatkan melalui percambahan aktiviti-aktiviti perniagaan yang berorientasikan perkhidmatan dan pembuatan.

Program TVET yang bersifat progresif akan kekal menjadi pilihan program akademik yang relevan kerana revolusi industri akan terus berubah dari semasa ke semasa. Pendidikan konvensional diharapkan dapat menggarap pedagogi TVET supaya graduan-graduan hari ini dapat ditempatkan di sektor pekerjaan sebagai tamat pengajian. Usaha kerajaan dalam mengangkat imej TVET wajar dipuji kerana kelangsungan program-program akademik banyak bergantung kepada keperluan industri yang memerlukan pekerja berkemahiran dan kompeten sesuai dengan perkembangan teknologi dan era digitalisasi.

 
 

 
Disediakan oleh:
     
 
Prof. Madya Ts. Dr. Muhd Khaizer Omar
Timbalan Pengarah, Pembangunan dan Kepemimpinan Pegawai Akademik (PKPA)
Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADe-Lead)
 
Email: khaizer@upm.edu.my
 

Tarikh Input: 23/08/2023 | Kemaskini: 24/08/2023 | azryadeny

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN KEPEMIMPINAN AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6175
03-9769 6043
WXFNGA2~