Komponen CARE Dan Penerapan Service-learning Kombinasi Praktis Terbaik Memperluaskan Pengalaman Pembelajaran Dalam Situasi Sebenar Masyarakat | PUSAT PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN KEPEMIMPINAN AKADEMIK
» ARTIKEL » Komponen CARE dan Penerapan Service-learning Kombinasi Praktis Terbaik Memperluaskan Pengalaman Pembelajaran dalam Situasi Sebenar Masyarakat

Komponen CARE dan Penerapan Service-learning Kombinasi Praktis Terbaik Memperluaskan Pengalaman Pembelajaran dalam Situasi Sebenar Masyarakat

 

Di era pendidikan moden, integrasi antara teori dan amalan menjadi kunci utama dalam menghasilkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga responsif terhadap keperluan sosial yang sebenar. Teras Community Resilience Experiential Learning (CARE) dalam kerangka EXCEL (Experiential Learning and Competency-Based Education Landscape) adalah manifestasi dari pendekatan ini.

Tujuan utama pendekatan ini adalah untuk mengintegrasikan pengajaran dan pembelajaran dalam konteks yang lebih luas dan dinamik, memperkukuhkan ketahanan komuniti melalui pembelajaran berasaskan pengalaman yang tidak hanya menitikberatkan penyelesaian masalah tetapi juga pembinaan karakter dan kepekaan sosial di kalangan pelajar. Inisiatif ini memerlukan pelajar berinteraksi secara langsung dengan komuniti dalam menyelesaikan masalah setempat menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari.

Melalui penerapan prinsip teras CARE di dalam sesebuah program akademik, pelajar diberikan peluang untuk memperluaskan pengalaman pembelajaran mereka dalam situasi sebenar masyarakat. Ini  selaras dengan Lonjakan 3 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) 2015-2025 iaitu menggalakkan Penghayatan Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Seterusnya, penerapan amalan Service Learning Malaysia-University For Society (SULAM) membolehkan pelajar untuk mempraktikkan teori dan amalan dalam menghadapi isu kemasyarakatan yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup. Service learning, yang merupakan komponen penting dalam CARE, dilaksanakan sebagai kursus berkredit yang mengintegrasikan pembelajaran akademik dengan perkhidmatan masyarakat. Ini tidak hanya untuk memperdalam pemahaman teoretikal pelajar tetapi juga untuk mengaplikasikannya dalam situasi sebernarnya untuk memenuhi keperluan komuniti secara efektif.

Mengenal pasti keperluan dan isu-isu yang dihadapi oleh komuniti merupakan langkah awal yang penting sebelum melaksanakan inisiatif SULAM. Setelah keperluan ini dikenal pasti, ia membantu dalam penentuan matlamat program dengan lebih tepat dan memudahkan pembentukan sinergi dalam kerjasama dengan dengan organisasi lain sama ada kerajaan ataupun pihak swasta. Perancangan dan pelaksanaan yang sistematik ini sangat penting kerana mempermudah pensyarah untuk menetapkan hasil pembelajaran dan objektif yang diharapkan bagi pelajar.

Sebagai contoh, pelaksanaan SULAM dalam program yang melaksanakan teras CARE dalam program Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan (Kepujian) telah dilaksanakan melalui Program Pemerkasaan Komuniti di Sg. Asap, Belaga: Intervensi Bersepadu Bagi Pembangunan Komuniti Terjebak Isu Sosial pada semester pertama Sesi 2023/2024. Tahap tujahan CARE tertinggi yang diterapkan ke dalam program akademik ini adalah pada Tahap 3 iaitu Amalan Komuniti (Community Practice).

Kursus-kursus seperti Pengantar Pembangunan Komuniti (FEM3331) dan Kerja Sosial dan Perkhidmatan Manusia (FEM3343) telah menerapkan amalan Service Learning yang berterusan dari Tahun Pertama hingga Tahun Ketiga. Melalui kerjasama dengan agensi Kerajaan seperti Majlis Pembangunan Sosial, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (MPS, KPWK), pelajar dapat mengenal pasti dan mengatasi isu utama di komuniti, khususnya penagihan dadah dan dan penggunaan substans terlarang di kawasan luar bandar. Program ini merupakan kerjasama antara Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu dengan MPS, KPWK selaku sekretariat tetap One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Negeri Sarawak dan OSC bagi MIDS Daerah Belaga. Program berkonsepkan keluarga angkat (homestay) yang telah dilaksanakan pada tarikh 13 hingga 15 Januari 2023 bagi siri pertama dan 19 hingga 21 Januari 2024 bagi siri kedua melibatkan 200 orang penduduk kampung bagi setiap siri di mana ia telah diletakkan di bawah program Operasi/Intervensi Bersepadu Isu Dadah dan Substans (OBID) Daerah Belaga.

Dalam projek SULAM ini, perancangan mengambil kira tiga (3) penetapan fasa/tahap dalam membantu komuniti. Tahap pertama menekankan kepada advokasi yang mana pada fasa ini program memberikan maklumat, pengetahuan dan kesedaran mengenai isu kepada komuniti. Tahap kedua pula menekankan kepada intervensi yang memfokuskan kepada kaedah penyelasaian masalah manakala tahap ketiga menekankan kepada fasa penilaian terhadap intervensi yang telah dilaksanakan.

Program SULAM yang dilaksanakan selama lebih 20 jam di lapangan ini melibatkan penyampaian maklumat dan perkongsian ilmu secara terus kepada masyarakat, mengenai isu sosial yang berlaku dalam komuniti serta mencari kaedah intervensi yang bersesuaian untuk mengatasi masalah sosial yang dihadapi daripada berlanjutan. Pendekatan SULAM yang dilaksanakan dalam program 3 hari 2 malam ini boleh dibahagikan kepada dua fokus mengikut kepada konsep pelaksanaan program. Rajah 2 menerangkan pendekatan pelaksanaan kepada program Siri 1.0  (Advokasi dan Penyelidikan) dan 2.0 (Secara Langsung dan Berasaskan Penyelidikan).

 

Rajah 1: Pendekatan pelaksanaan kepada program Siri 1.0

 
 

 

Rajah 2: Pendekatan pelaksanaan kepada program Siri 2.0

 

 

Selain daripada impak kepada komuniti, program ini turut memberikan manfaat dan outcome yang besar kepada para pelajar yang terlibat. Platform ini juga telah memberikan ruang untuk perkongsian kepakaran dan penyebaran ilmu di mana mahasiswa berperanan sebagai penggerak, membantu dalam perancangan dan pelaksanaan program secara langsung. Ini memberi mereka peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam konteks praktikal dan turut serta membina hubungan mesra dengan masyarakat.

Perkara utama yang diperolehi daripada projek SULAM ini adalah berkaitan dengan pembangunan peribadi pelajar. Melalui komunikasi dan jaringan hubungan bersama dengan industri dan komuniti, manfaat dapat dilihat dari segi perkembangan interpersonal pelajar yang lebih baik, terutamanya keupayaan mereka untuk bekerja dengan baik dengan orang lain serta berkerja secara berpasukan, dan membina kemahiran kepimpinan. Ini selaras dengan objektif program iaitu membuka peluang penglibatan golongan muda mendampingi komuniti melalui kegiatan kemasyarakatan, kekeluargaan, kejiranan dan pendidikan.

Keberkesanan program ini juga selaras dengan agenda Dasar Pembangunan Komuniti termasuk memupuk nilai kepedulian di kalangan generasi muda intelek IPT bagi mengukuh jalinan integrasi yang erat dikalangan komuniti setempat. Objektif ini bertepatan dengan impak yang telah diperolehi oleh pelajar terutamanya apabila refleksi diadakan. 

Selain itu, ia juga dapat juga dilihat melalui interaksi pelbagai budaya dan gaya hidup seperti di Sungai Asap, Belaga. Hampir keseluruhan daripada komuniti tersebut adalah daripada kalangan etnik Kenyah yang tinggal di rumah panjang. Keunikan etnik berkenaan yang mempamerkan sifat keramahan serta baik hati komuniti telah meningkatkan tanggungjawab sosial kepada pelajar dan organisasi.

Seterusnya, manfaat melalui sinergi kerjasama bersama komuniti dan industri dalam program ini telah membentuk satu kolaborasi berkekalan antara universiti dan masyarakat setempat, serta memberikan impak positif dalam usaha pencegahan dadah bukan sahaja di kawasan yang terlibat tetapi juga di sekitar Sarawak keseluruhannya.

Pelaksanaan program SULAM seperti ini sebenarnya telah memberikan impak yang tinggi kepada keterlihatan Universiti Putra Malaysia dan juga memperluaskan jalinan hubungan kerjasama antara universiti dengan komuniti dan industri. Usaha keterlihatan sehingga ke peringkat luar bandar ini adalah satu usaha yang amat membanggakan, terutamanya apabila dilihat peluang pembelajaran kepada anak-anak komuniti turut dibuka melalui program ini.

 

 

Lampiran

 
 
Gambar 1: Keratan Akhbar di Utusan Borneo
 
 
 
Gambar 2: Taklimat Komponen Modal Kepulihan Isu Sosial
Bagi Pembangunan Komuniti Terjebak Isu Sosial
 
 
 
Gambar 3: Sesi Penyerahan Anak Angkat dan Ziarah Intervensi Kesejahteraan
 
 
 
Gambar 4: Malam Solidariti Komuniti & Kebudayaan
 
 
 
Gambar 5: Majlis Penutupan Program yang Dirasmikan oleh YB Kennedy Chukpai Ugon, ADUN Murum
 
 

 
Disediakan oleh:
     
 

Dr. Yasmin Yaccob adalah seorang Pensyarah Kanan dalam bidang Psikologi Sosial di Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS), UPM Kampus Bintulu (UPMKB). Beliau juga merupakan Ketua di Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan, FKPS UPMKB. Beliau merupakan individu yang aktif menyumbang kepada komuniti dan industri melalui projek Jaringan Industri dan Komuniti. Beliau sering dijemput untuk memberi pandangan dan membuat ulasan mengenai kelestarian komuniti serta inisiatif pemerkasaan belia di Malaysia.

Emel: yasmin_y@upm.edu.my

   
 
 

Dr. Juniza Md Saad merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Sains dan Teknologi, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS), UPM Kampus Bintulu (UPMKB). Beliau juga merupakan Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), FKPS UPMKB. Beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan komuniti terutama yang melibatkan belia dan penggalakan bidang STEM.

Emel: juniza@upm.edu.my

   
 

Tarikh Input: 26/04/2024 | Kemaskini: 07/05/2024 | azryadeny

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN KEPEMIMPINAN AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6175
03-9769 6043
WXFNCAF~