SULAM Pemacu Agenda Kelestarian Pentahelix UPM | PUSAT PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN KEPEMIMPINAN AKADEMIK
» ARTIKEL » SULAM Pemacu Agenda Kelestarian Pentahelix UPM

SULAM Pemacu Agenda Kelestarian Pentahelix UPM

 

Service learning” adalah satu ungkapan yang pada dasar literal bermaksud pembelajaran perkhidmatan. Tetapi apabila kita melihat dari konteks pedagogi, service learning merupakan satu kaedah pembelajaran dalam kuliah yang mengintegrasikan perkhidmatan kepada masyarakat dan seterusnya meningkatkan pengalaman pembelajaran seseorang pelajar. 

Kerajaan Malaysia melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi) di bawah lonjakan pertama telah menggariskan satu inisiatif untuk memantapkan kurikulum IPT dengan mengguna pakai garis panduan High-Impact Educational Practices (HIEPs). Kurikulum yang dibangunkan akan menggabungkan kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman serta menerapkan komponen keusahawanan. Antara elemen yang dicadangkan dalam HIEPs adalah Service/Community Based Learning (SL/CBL).

 
 

Pada tahun 2019, Kementerian Pengajian Tinggi telah memperkenalkan SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society), iaitu merupakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti yang melibatkan pelajar berinteraksi dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat dengan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang telah mereka pelajari di bilik kuliah. Pelaksanaan SULAM mempunyai mata kredit dan jam pelaksanaan khidmat komuniti itu dikira dalam pengiraan jumlah jam kontak pelajar belajar bagi kursus yang berkaitan. Komuniti ini boleh ditarifkan sebagai komuniti masyarakat, agensi kerajaan, NGO mahupun pihak industri. Terdapat empat kaedah pelaksanaan SULAM yang diperkenalkan, iaitu secara langsung, tidak langsung, advokasi dan penyelidikan. Penyelaras kursus diberi kebebasan untuk melaksanakan SULAM dengan menggunakan sebarang kaedah dan pelaksanaan adalah sangat fleksibel. Walau bagaimanapun pelaksanaan tersebut haruslah memenuhi kriteria-kriteria yang telah dinyatakan dalam buku panduan yang telah dibangunkan.

Penelitian pelaksanaan kaedah pembelajaran secara service-learning di kalangan negara ASEAN, kaedah pembelajaran ini telah lama diterapkan dalam kurikulum pendidikan tertiari di Indonesia khususnya. Kaedah pembelajaran service learning di sana dikenali sebagai Kuliah Kerja Nyata (KKN) dan telah diperkenalkan seawal 1940an. Thailand juga turut memperkenalkan kaedah pembelajaran ini di universiti dalam negara mereka. Sebagai contoh di Fakulti Sains Veterinar, Chulalongkorn University telah melaksanakan program pembangunan sosial yang disertai oleh pelajar tahun 6 untuk mengaplikasikan teori pengetahuan dan kemahiran yang telah mereka pelajari untuk menyelesaikan permasalahan di kalangan petani-petani berskala kecil. Ilmu yang diaplikasikan meliputi latihan rawatan klinikal, serta memupuk kesedaran penjagaan kesihatan haiwan ternakan dan haiwan kesayangan. Jikalau di Malang Indonesia, terdapat satu program “Seribu Desa” di bawah kelolaan Universitas Brawijaya di mana pelajar dari pelbagai fakulti akan menjalankan aktiviti KKN di desa yang terpilih.

Kaedah pembelajaran service learning di Malaysia bukanlah perkara baharu. Ini kerana terdapat banyak IPT yang telah menjalankan aktiviti pembelajaran bersama komuniti selama ini. Namun begitu, didapati kaedah pembelajaran yang dilaksanakan adalah lebih menjurus kepada aktiviti-aktiviti sukarelawan. Dengan wujudnya garis panduan SULAM yang telah dihasilkan oleh Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, kaedah pelaksanaan service learning di kalangan IPT Malaysia adalah lebih berfokus dan dapat memberi nilai tambah yang tinggi kepada pelajar khususnya.

UPM tidak terkecuali dalam menyahut saranan KPT dalam pelaksanaan SULAM. Semenjak SULAM mula diperkenalkan, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh UPM melalui bimbingan dan panduan dari pihak CADE-Lead. UPM adalah antara beberapa IPT terawal yang telah menubuhkan jawatankuasa khas SULAM di peringkat universiti yang bertanggungjawab menggalakkan serta memantau pelaksanaan SULAM di dalam kurikulum program pengajian di kampus Serdang dan Bintulu.

Penerapan elemen SULAM di UPM secara tidak langsung mendukung pelan strategik UPM 2021-2025, di mana telah digariskan beberapa sasaran yang pada dasarnya boleh dicapai dengan pelaksanaan program SULAM di dalam kurikulum. Sasaran 1, pembangunan insan dan bakat masa hadapan. SULAM dapat memberikan pendedahan kepada pelajar untuk menyelesaikan permasalahan setempat atau sesebuah organisasi dengan menggunakan ilmu yang telah dipelajari sekali gus dapat mengasah minda pelajar untuk berfikiran lebih kritis. Pada masa yang sama sasaran 4, kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara dapat dicapai. UPM sebagai universiti terulung di Malaysia yang memelopori bidang pertanian dan keterjaminan makanan secara tidak langsung dapat melestarikan ekosistem jaringan industri dan masyarakat melalui kaedah pembelajaran SULAM secara advokasi serta penyelidikan. Sebagai contoh, salah satu kursus yang telah berjaya melaksanakan SULAM dengan baik adalah kursus Pengembangan Pertanian (CES2241) di bawah kelolaan Prof. Madya Dr. Noorasmah Saupi. Pelaksanaan SULAM di dalam kursus ini melibatkan komuniti yang terdiri daripada penduduk Rumah Panjang Jaraw Anak Sumuk di Bintulu, Sarawak. Komuniti ini menghadapi masalah kekurangan kawasan pertanian untuk tanaman makanan sara diri (cash crop). Selain itu, sebahagian besar penduduk rumah panjang ini terdiri daripada golongan warga emas yang berumur lebih dari 60 tahun. 

 
 

Pelaksanaan SULAM ini adalah fleksibel, di mana ia boleh melibatkan beberapa kursus untuk mencapai matlamat menyelesaikan sesuatu permasalahan. Sebagai contoh, satu pertandingan Microbes Invention, Innovation and Ideation Challenge (MINIC) 2023 yang melibatkan pelajar Tahun 3 daripada program Bacelor Sains Mikrobiologi dengan Kepujian telah melaksanakan SULAM dalam kursus “Service Learning in Microbiology” dengan gabungan kursus Patogenik Mikrob, Genetik Mikrob dan Immunologi telah dilaksanakan pada awal tahun ini. Tema pertandingan kali ini adalah berfokuskan kepada Industri Pengeluaran Ayam. Pelajar telah bekerjasama dengan pihak industri untuk mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi dalam rantaian pengeluaran ayam secara temu bual serta lawatan lapangan. Hasil dapatan dari lawatan dan perbincangan bersama pihak industri, pelajar telah membentangkan cadangan penyelesaian serta prototaip yang dapat membantu pihak industri. Ternyata kaedah SULAM yang dilaksanakan dalam kursus ini telah memberi banyak nilai tambah kepada pelajar dari segi aspek membangunkan kerjasama bersama pihak industri dan mengasah kemahiran insaniah.

 
 

Dewasa ini, isu besar yang dihadapi negara secara amnya berkisar dengan peningkatan kos sara hidup, isu keterjaminan makanan dan impak perubahan iklim dunia kepada masyarakat. UPM mempunyai peluang yang cukup besar untuk membantu menyelesaikan permasalahan ini atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan impak isu-isu tersebut terhadap masyarakat. Ekosistem UPM adalah cukup kondusif dengan adanya entiti yang boleh secara sinerginya bekerjasama dalam pelaksanaan SULAM dalam kurikulum. Penglibatan pelajar UPM dalam menyelesaikan permasalahan komuniti secara tidak langsung dapat memberi pendedahan penyelesaian masalah secara lebih realistik. Dengan moto berilmu dan berbakti, pelaksanaan SULAM secara dasarnya dapat membantu mencapai agenda kelestarian pentahelix UPM.

     
 
*Disclaimer/penafian – Penulis telah memberikan pandangan peribadi beliau berkenaan topik yang tertulis di atas dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Penerbitan penulisan ini adalah sekadar perkongsian ilmiah.
 
 

 
Disediakan oleh:
     
 
Dr. Mohd Mokrish Md Ajat adalah seorang Pensyarah Kanan dalam bidang biokimia veterinar di Jabatan Sains Praklinikal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar UPM. Beliau juga merupakan seorang Penyelidik Bersekutu (Interim) di Laboratori Penyelidikan Ubatan dan Produk Semulajadi (Naturmeds), Institut Biosains UPM. Beliau turut dilantik sebagai ahli jawatankuasa strategik SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) dan ahli jawatankuasa strategik EXCEL (Experiential Learning and Competency-Based Education Landscape) di bawah Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT. Beliau merupakan pemenang anugerah MAB-UNESCO Young Scientists Awards 2016. Dr. Mohd Mokrish merupakan salah seorang Felo Bersekutu Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADe-Lead) UPM.
 

Emel: mokrish@upm.edu.my

 

Tarikh Input: 21/12/2023 | Kemaskini: 27/12/2023 | azryadeny

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN KEPEMIMPINAN AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6175
03-9769 6043
SXFNVA2~