Mencari Pemimpin Yang Syumul | PUSAT PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN KEPEMIMPINAN AKADEMIK
» ARTIKEL » Mencari Pemimpin yang Syumul

Mencari Pemimpin yang Syumul

 
 
 

Memimpin merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang cukup berat untuk digalas. Ciri-ciri pemimpin yang "kuat" dan amanah merupakan tonggak kepada pemimpin yang syumul seperti yang digariskan dalam Islam. Sebagai khalifah di muka bumi ini, kepemimpinan dalam konteks Islam memberikan peranan yang jelas, iaitu, tugas manusia untuk memakmur,  membangun, dan memodenisasi kehidupan duniawi dengan memanfaatkan dan mensyukuri sumber-sumber bumi yang dikurniakan Illahi. 

Setiap manusia dilahirkan untuk memimpin tidak kira sama ada lelaki ataupun perempuan. Kepemimpinan perlu dizahirkan dalam bentuk tingkah laku memimpin ke arah amar makruf dan nahi mungkar iaitu mengajak manusia untuk melakukan kebaikan dan menjauhi daripada perkara-perkara mungkar. Seringan-ringan tanggungjawab memimpin adalah dengan memimpin diri sendiri manakala seberat-berat tanggungjawab memimpin adalah kepada ketua negara yang memimpin rakyat di bawah jagaannya.

Rasulullah SAW mengingatkan perkara ini dalam sabdanya: 

       
   
“Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin. Seorang raja adalah pemimpin bagi rakyatnya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpin. Seorang suami adalah pemimpin bagi anggota keluarganya, dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap mereka. Seorang isteri adalah pemimpin bagi rumah tangga,suami dan anak-anaknya, dan akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya. Seorang hamba adalah pemimpin bagi harta tuannya, dan dia juga akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpinnya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban atas apa yang kamu pimpin”.
 

-Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim-

 
 

Tanggungjawab sebagai pemimpin itu bukan mudah, namun Islam melarang umatnya untuk menolak daripada tanggungjawab pemimpin apabila diberikan amanah ini khususnya apabila mendapat kepercayaan daripada ahli masyarakat. Dalam konteks Islam, lantikan sebagai pemimpin bukanlah merujuk kepada ketinggian darjat dan kemuliaan "tasyrif" sebaliknya merupakan satu kebertanggungjawaban "taklif" yang akan dipersoalkan kelak di hari akhirat. 

Ironinya, kepemimpinan dalam Islam juga melarang seseorang itu untuk menolak daripada diangkat menjadi pemimpin. Jika seseorang individu itu dilantik berdasarkan kredibiliti, tahap keilmuannya dan sikap integriti yang tinggi, namun dia menolak untuk diangkat menjadi pemimpin di kalangan masyarakat, dia juga dikira tidak bertanggungjawab sebagai seorang Muslim sejati. 

Pemimpin yang syumul yang dicari adalah apabila mereka yang diberikan amanah untuk memimpin akan bertanggungjawab dan akan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. Perasaan takut dan berasa muraqabah Allah SWT. Muraqabah dari segi bahasa bermaksud pengawasan dan dipantau. Manakala dari segi istilah ialah keyakinan yang ada pada diri seseorang bahawa Allah sentiasa mengawasi, melihat, mendengar dan mengetahui segenap perkara. Justeru, kepemimpinan seharusnya dilihat bukan sesuatu kelebihan yang boleh dibanggakan dan dimegahkan. Hal ini demikian kerana setiap tingkah laku dan tindakan sebagai seorang pemimpin sentiasa akan dipertanggungjawabkan kerana Allah SWT akan memerhatikan dan mempersoalkan sebarang tindakan yang diambil.

Lantaran itu, pemimpin yang dicari perlu bersikap ihsan iaitu dengan menyembah Allah

   
"Seolah-olah kamu melihatNya, tetapi jika kamu tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu".
(Pengertian berdasarkan Hadith Riwayat Muslim daripada Umar Ibnul Khattab).
 

Yakni, dengan mengabdikan diri kepada Allah dengan perasaan seolah-olah manusia melihatNya dan jika manusia tiada perasaan melihat kepadaNya, maka hendaklah manusia berasakan bahawa Allah melihatnya. Perkara ini sejajar dengan tanggungjawab sebagai pemimpin yang menekankan kepada konsep ketuhanan yang mana sebarang tindak tanduk sebagai pemimpin pasti akan diperhatikan oleh penciptanya.

Dalam konsep kepemimpinan Islam, individu yang tidak berhajatkan dan meminta-minta kepada perjawatan, namun dikurniakan tanggungjawab memimpin pasti akan dibantu Allah dan dipermudahkan segala urusan sehariannya. Keberkatan hidup yang dicari oleh manusia khususnya kepada mereka yang diberikan tanggungjawab memimpin adalah dengan kurniaan Allah bahawa segala urusan kehidupan duniawinya akan dipermudahkan. Rezeki dalam bentuk peluang dan hasil akan diberikan dengan melimpah ruah hasil keberkatan dan keihsanan sebagai seorang pemimpin. Allah SWT akan sentiasa membantu hamba-hambaNya yang ikhlas, bertanggungjawab dan tawaduk serta sering merujuk kepadaNya melalui kitab syumul Al-Quran. 

Sekularisme yang meresapi dalam kehidupan dunia telah memesongkan tanggungjawab memimpin yang sebenarnya. Habuan duniawi berbentuk harta, pangkat dan gelaran menjadi tujuan utama apabila diberikan amanah untuk memimpin. Pengaruh politik dan permainan kuasa merubah tanggungjawab pemimpin yang hakiki kepada mengejar habuan dunia. Justeru, setiap pemimpin perlulah bermuhasabah dengan mengembalikan konsep kepemimpinan Islam iaitu dengan tidak mengejar kedudukan bagi tujuan bersenang lenang tetapi berteraskan rasa tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan Allah SWT dan kepercayaan yang diberikan kepada masyarakat. 

 

 
Disediakan oleh:
     
 
Prof. Madya Ts. Dr. Muhd Khaizer Omar
Timbalan Pengarah, 
Seksyen Pembangunan dan Kecemerlangan Pegawai Akademik (PKPA)
Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADe-Lead)
 

Emel: khaizer@upm.edu.my

   
 

Tarikh Input: 21/12/2023 | Kemaskini: 27/12/2023 | azryadeny

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN KEPEMIMPINAN AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6175
03-9769 6043
SXFNSA5~