UPM Anjur Majlis Syarahan Umum Rashdan Baba Siri 2, Lancar CADe-Lead, CbIL | PUSAT PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN KEPEMIMPINAN AKADEMIK
» BERITA » UPM Anjur Majlis Syarahan Umum Rashdan Baba Siri 2, Lancar CADe-Lead, CbIL

UPM Anjur Majlis Syarahan Umum Rashdan Baba Siri 2, Lancar CADe-Lead, CbIL

SERDANG, 19 Disember 2023 – Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Majlis Syarahan Umum Rashdan Baba Siri Kedua yang bertajuk "Kepimpinan Akademik: Pengaruh, Mobiliti dan Mentoran", sekali gus melancarkan Transformasi Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADe-Lead) dan Leadership Guideline – Competency-Based Institutional Leadership (CbIL) Framework, UPM.

Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, UPM ingin menekankan pengalaman pembelajaran dan kehidupan kampus yang terus cemerlang agar pelajar dapat menjadikan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang bermakna dalam mendepani cabaran masa hadapan.

“CADe-Lead diharapkan bukan sahaja dapat menyemarakkan pembangunan kecemerlangan akademik, tetapi turut menghasilkan pemimpin akademik demi masa depan universiti bagi menjamin pemberian ilmu yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, CADe-Lead bertanggungjawab menyediakan program pembangunan profesional yang releven dan berkesan untuk memantapkan keterampilan kepimpinan akademik universiti.

“Tumpuan utama CADe-Lead berfokus terhadap pendekatan kemahiran kepimpinan pengurusan akademik, pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan yang berkualiti, di samping memberikan perhatian terhadap maklum balas daripada peserta program untuk memastikan program pembangunan kepimpinan yang disediakan dapat memberikan impak dan manfaat kepada yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi, Lembaga Pengarah Universiti (LPU), UPM, YBhg. Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo berkata, hampir semua universiti beranggapan bahawa bakat ahli akademik sudah tidak perlu dibangunkan lagi, walhal sebagai pemimpin akademik, golongan ini merupakan kekuatan universiti.

“Ahli akademik bukan sahaja menjalankan amanah sebagai tenaga pengajar, tetapi turut mempengaruhi serta menjadi inspirasi kepada pelajar dalam menarik minat pelajar terhadap ilmu pengetahuan serta menggerakkan minda mereka bagi menimbulkan pelbagai persoalan akademik untuk terus meneroka penyelidikan dan pembangunan,” katanya.

Turut hadir, Pengarah, Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik, UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani, barisan ahli LPU dan ahli akademik UPM.

 

 
Sumber Berita: Facebook UPM
Pautan Rakaman: 
https://www.facebook.com/watch/?v=1104505017392787
 

Tarikh Input: 21/12/2023 | Kemaskini: 21/12/2023 | azryadeny

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN KEPEMIMPINAN AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6175
03-9769 6043
WXFLVAm~